Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Malaysian Association of Local Authorities) atau lebih dikenali sebagai MALA ditubuhkan pada 20 Oktober 2000.  Ini diikuti oleh Mesyuarat Agung MALA yang pertama yang telah diadakan pada 1 November 2000 untuk membuat pemilihan Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif MALA.

Ahli-Ahli MALA adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia yang terdiri daripada Dewan / Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah atau mana-mana badan atau organisasi yang diberikuasa atau fungsinya sama seperti PBT.

Matlamat utama penubuhan MALA adalah untuk memainkan peranan penting sebagai organisasi induk yang menyelaraskan dan menyatukan pelbagai aktiviti Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan lagi dan seterusnya menyumbangkan kepada perkembangan dan kemajuan PBT.  Sekaligus mengekalkan pembangunan berterusan di semua PBT. 

Objektif-objektif MALA ialah:

  1. Memupuk kerjasama dan persefahaman di antara semua PBT seluruh Malaysia serta saling bantu-membantu di antara satu sama lain di dalam bidang-bidang lain yang berkaitan.
  2. Memaju dan melindungi kepentingan dan kebajikan PBT di seluruh Malaysia.
  3. Memelihara kepentingan PBT sebagai Kerajaan peringkat ketiga dalam sistem pentadbiran Malaysia.
  4. Bekerjasama di antara sesama PBT ke arah memajukan masyarakat dan negara.
  5. Bekerjasama di antara sesama PBT demi mempertingkatkan ekonomi, kewangan, sukan dan kebudayaan.
  6. Mempertingkatkan peranan dan imej PBT.
  7. Mempertingkatkan lagi mutu pentadbiran, kemahiran dan kecekapan di dalam pengurusan PBT.
  8. Mewakili negara serta bekerjasama dengan sesama PBT di peringkat antarabangsa dalam mempertingkatkan segala aktiviti Persatuan.
  9. Menerbitkan buletin dan memaparkan aktiviti Persatuan untuk faedah dan pengetahuan bersama dengan kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.

MALA telah dan sedang mengatur pelbagai seminar, konferens, kursus dan aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi yang mengambil kira penglibatan kesemua PBT di Malaysia dan warganya.  Di samping itu, usaha-usaha telah dan sedang dilaksanakan untuk memperkenalkan MALA di peringkat antarabangsa khasnya di kawasan Asia Pasifik.  Ini akan merupakan satu kejayaan MALA bagi mewakili Malaysia dalam mempertahankan kepentingan dan peranan Kerajaan Tempatan secara global.